Saturday, October 26, 2013

Pengurusan masa menentukan mutu hasil kerja

Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan



Selepas mendirikan rumahtangga, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana menjaga ibu dan arwah bapa yang sakit.  Setelah lama hanya duduk di rumah, saya mula rasa bosan tinggal di rumah tanpa berbuat apa-apa.   Saya rasa tidak produktif.

Asalnya saya memang tidak pandai baking, tetapi minat yang mendalam dalam bidang ni membuatkan saya mula mencari tutorial mengenai baking dan belajar secara online. Dengan cara 'hands on', saya belajar dan menimba pengalaman secara 'trial dan error'.

Peluang bisnes bermula pada tahun lepas, apabila saya membuat kek harijadi untuk anak saudara. Ramai yang mula bertanya dan ingin membuat tempahan kek dengan saya. Pada September 2012, saya mula berniaga secara online setelah mendapat keyakinan untuk mula menghias kek tempahan dengan dekorasi fondant dan aising.

Saya sangat bersyukur kerana suami menjadi tulang belakang dan bersedia memberi bantuan tidak kira masa. Lebih-lebih lagi pada waktu ini kami sekeluarga sedang menanti kehadiran cahayamata yang pertama, suami lah yang akan membantu apabila saya tidak sihat. Setiap kali menerima tempahan, suami akan menolong membuat design template kek dengan menggunakan komputer (kadang kala, design seperti watak animasi perlu ditukar skala mengikut saiz kek yang ditempah).

Pembahagian masa adalah lebih fleksibel berbanding semasa bekerja di pejabat. Dengan bekerja di rumah, saya dapat meluangkan masa bersama suami disamping menjaga ibu yang uzur. Saya juga mempunyai lebih waktu untuk beribadat dan beramal. 

Cabaran yang saya hadapi sebagai baker hingga ke hari ini adalah terpaksa berdepan dengan permintaan yang terlalu tinggi dari sesetengah pelanggan. Oleh kerana saya tidak mempunyai kakitangan,  permintaan untuk tempahan kek yang memerlukan hiasan yang terlalu 'fancy'  sukar untuk saya siapkan. Kek juga tidak tahan lama, jadi setiap tempahan perlu disiapkan dalam  masa 2-3 hari sahaja sebelum hari penghantaran. Bermula dari peringkat membuat kek, persediaan untuk aising dan dekorasi menggunakan fondant, semuanya perlu disiapkan dalam masa tersebut.  Pengurusan masa itu sangat penting supaya kerja lebih teratur kerana ia akan mempengaruhi mutu dan hasil kerja.

Matlamat saya adalah untuk mewujudkan pasukan baking saya sendiri.  Inshaallah selepas itu saya akan mula mengambil tempahan kek perkahwinan bertingkat yang memerlukan tenaga pembantu yang lebih ramai.



Friday, October 11, 2013

Cabaran terbesar adalah penerimaan dan sokongan keluarga


Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan




Minat saya untuk membuka cafe ini timbul sejak saya mula berkahwin. Saya suka pergi makan di tempat-tempat yang bersih dan cantik.  Tujuan saya berhenti kerja dari bank dahulu adalah untuk menjaga anak-anak yang sedang membesar.  Jadi apabila anak-anak sudah besar, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya teruskan impian yang sudah lama saya tangguhkan.

Antara tujuan utama saya ingin membuka cafe  adalah utk menambah nilai hidup kepada orang lain dengan memberi pekerjaan yg baik kepada golongan belia sebangsa saya.  Saya berhasrat untuk membuka cafe yang menyediakan makanan yang bersih dan halal berkonsep santai serta dilengkapi talian internet seperti Cafe Francise.

Banyak cabaran yang saya hadapi pada peringkat permulaan. Kata-kata orang sekeliling banyak melemahkan semangat saya.  Saya tidak mendapat sokongan keluarga dan ia hampir-hampir membuatkan saya putus asa dan melupakan impian saya.  Namun, saya kuatkan semangat tetap nekad untuk meneruskan niat saya untuk membuka cafe.

Alhamdulillah, setelah  60% usaha saya ke arah impian saya, barulah saya lihat keluarga merestui keputusan saya.  Restu dari keluarga amat berharga bagi saya.

Matlamat saya nak menjadikan Old Station sebagai kopitiam/cafe tempatan yg setanding dengan jenama francise.

Sebagai persedian dalam bidang perniagaan, saya banyak menghadiri seminar-seminar yang dikendalikan oleh pakar-pakar pemasaran.  Antaranya seminar Dr Azizan seperti Master Your Bisness, Train The Trainer, Rahsia Kuasa Minda, Advance marketing Power, Fesbuk Power, Potensi Diri, Jutawan Industri dan lain-lain lagi.  Saya juga mengikuti kursus anjuran MARA dan konvensyen TERAJU.  Banyak yang saya belajar dari tip dan panduan dari seminar-seminar sebegini serta tidak lupa juga dari orang-orang sekeliling saya.

Nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana, jika ingin menjalankan bisnes teruskan sahaja. Usah takut dan teragak-agak, buat sahaja dan usaha untuk tambah baik selepas itu.

Sunday, October 6, 2013

Cabaran pahit sebagai seorang selebriti chef

Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan





Sebenarnya saya meminati bidang masakan ini sejak  dari bangku sekolah lagi.  Tambahan pula, saya datang dari keluarga yang menjalankan perniagaan katering.

Pada mulanya saya belajar bidang Hotel Management dan Kulinari di Middlesex University Of London, setelah itu saya mula berjinak-jinak terjun ke dalam dunia Selebriti Chef sebagai Penulis Buku Resipi. Kini saya telah pun mempunyai 7 buah judul buku resipi di bawah penerbitan PTS Millennia dan Buku Prima (Grup Buku Karangkraf) yang dipasarkan di seluruh Malaysia.  Saya juga telah berpeluang menjadi Pengacara TV bagi Rancangan Masakan di saluran TV2 dan Astro Ria serta pernah diundang ke beberapa rancangan masakan di saluran TV1, TVi, TV3 dan TV9.  Dan saya juga pernah menjadi cover muka hadapan untuk beberapa majalah antaranya Majalah Masakan The Cook.

Setelah mula bergiat aktif dalam bidang ini sebagai Selebriti Chef, timbul pula idea untuk memulakan perniagaan dalam bidang makanan.  Dengan pengaruh populariti nama yang sudah ada, saya mulakan perniagaan makanan.  Terlalu banyak pengalaman saya di bidang makanan.  Di Malaysia juga terlalu banyak saingan namun apa yang penting adalah kita perlu bersaing secara sihat dan mengatur strategi perniagaan untuk berjaya.

Terlalu banyak cabaran yang saya hadapi ketika mengusahakan perniagaan makanan ini antaranya ialah cabaran daripada segi emosi dan masa. Saya perlu membahagikan masa saya untuk dunia Selebriti, dunia perniagaan dan pada masa yang sama perlu meluangkan masa untuk keluarga juga.

Apabila kita berada dalam dunia selebriti ini,  tidak tak semua orang suka dan menyenangi kita, jadi kita perlu berusaha untuk menjaga hati semua pihak.  Pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan adalah sewaktu isu kontroversi mengenai saya keluar di dada akbar dan majalah sehingga menyebabkan kedudukan saya dalam dunia selebriti jatuh mendadak. Saya tidak lagi menerima tawaran  pekerjaan dari mana-mana pihak dan ia turut menjejaskan perniagaan makanan saya.   Kontroversi melampau ini telah membuatkan saya kehilangan kepercayaan kepada para sahabat dan keluarga saya.  Itu adalah antara cabaran yang paling teruk saya pernah lalui.

Yang paling tidak saya sukai adalah apabila antara peniaga bersaing dengan cara tidak sihat.  Menggunakan ilmu hitam dan sebagainya.  Ia akan menjejaskan ekonomi peniaga bangsa itu sendiri.

Walau bagaimana berat cabaran yang saya lalui, saya kuatkan semangat untuk memperkukuhkan empayar dengan mengatasi segala kesulitan yang datang.  Saya bangun dan berdiri semula.  Saya teruskan usaha untuk membangunkan kembali empayar saya dengan pelbagai strategi pemasaran terkini.  Dan kini nama saya telah pun naik semula seperti sedia kala dan telah pun mendapatkan semula kepercayaan daripada para sahabat baik dan keluarga yang merupakan tulang belakang pada kejayaan saya selama ini.

Sememangnya semua peniaga mahukan kejayaan dan mencapai keuntungan yang besar dalam perniagaan mereka.  Bagi saya apa yang saya lakukan adalah atas dasar tanggungjawab bagi mencari rezeki.  Semua kejayaan dan keuntungan yang besar serta populariti yang saya dapat kini adalah satu bonus yang harus saya syukuri.

Tuesday, October 1, 2013

Mulakan secara kecil-kecilan dan online dahulu

Sumber: Ebook Bonus - Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan


Saya memang minat berniaga. Ia bermula dari kelas baking yang pertama saya ikuti di Shah Alam pada awal tahun 2010.  Selepas itu saya mula mengambil tempahan kek dari rumah.  Dengan berbekalkan pengalaman bekerja sendiri sebelum ini (bukan dalam bidang makanan), saya teruskan bisnes dari rumah secara kecil-kecilan selama 2 tahun.

Pada masa yang sama saya mengikuti kursus dekorasi kek dan seminar keusahawan untuk menambahkan pengetahuan.  Sejak itu saya berazam untuk membuka sebuah pusat bakeri yang menjual pelbagai peralatan dan keperluan bakeri untuk para pengusaha kek.  Saya juga pernah memohon peruntukan dari badan tertentu untuk memulakan perniagaan ini, akan tetapi permohonan saya tidak diluluskan.  Lalu saya menukar haluan dari mengambil tempahan kek kepada menjual peralatan bakeri memandangkan masa saya amat terhad kerana mempunyai dua orang anak kecil ketika itu.

Semua itu tidak menjadi halangan untuk saya meneruskan hasrat ini. Dengan berbekalkan restu dari suami dan modal yang sedikit saya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan online Daffodil Crafts. Saya mula berniaga peralatan dekorasi kek ini semenjak awal tahun Januari 2012. Alhamdulillah , sambutan sangat menggalakkan. Selepas 4 bulan beroperasi secara online, saya memohon untuk berniaga di pasaraya Giant di Kuala Terengganu dan permohonan saya diluluskan. Saya mendapat tapak kiosk dan memulakan perniagaan di situ pada Mei 2012. Selepas 6 bulan di situ, saya mengambil langkah untuk mengusahakan sebuah kedai di rumah ibu saya. Dan sekarang ini perniagaan dijalankan di kedai sendiri secara online dan offline.

Masalah di dalam bisnes sentiasa ada kerana kita memang akan diuji Allah dalam apa jua keadaan.  Berbekalkan semangat dan keyakinan semua itu dapat diatasi dengan baik.

Matlamat utama penubuhan Daffodil Crafts adalah untuk menjadi pusat pembekal utama peralatan dekorasi kek yang berkualiti di Asia.  Kini Daffodil Crafts menjual/membekalkan peralatan dekorasi kek yang berkualiti kepada pengusaha kek yang beroperasi dari rumah atau pengusaha secara kecil-kecilan. Kami sedang mempergiatkan usaha untuk menawarkan kepada pengusaha kek dan kedai-kedai bakeri untuk membeli secara pukal dari kami samada untuk retail ataupun kegunaan sendiri.

Alhamdulillah kini kami mempunyai rangkaian pelanggan dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Pakistan, Dubai dan Maldive.

Cabaran modal dan kritikan pelanggan menguatkan semangat

Sumber: Ebook Bonus - Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan


Saya memulakan bisnes online  secara kecil-kecilan dalam bidang membuat aksesori wanita dari rumah sejak tahun 2007.  Pada Oktober 2011 saya telah membuat keputusan untuk menceburi bidang makanan.  Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk mencuba menjual sambal yang di panggil SAMBAL IKAN BILIS RIQZMIE ini. Kami melihat ia bakal mempunyai pasaran yang luas memandangkan penduduk Malaysia rata-ratanya bekerja dan sibuk.  Ini dapat memenuhi keperluan mereka yang sudah tentu memerlukan produk yang mudah dan cepat untuk dipelbagaikan dalam hidangan.

Mungkin bila sebut bisnes online, pasti ramai yang membayangkan ia senang dan modal yang diperlukan juga kecil.  Tetapi sebenarnya bisnes online memerlukan modal yang besar jika ingin cepat maju.  Walau bagaimanapun dengan modal yang kecil, perlaksanaan bisnes boleh dilakukan secara perlahan-lahan.  Dengan modal yang besar, pemasaran secara online dapat dilakukan dengan secara meluas. Ini semua memerlukan kos yang agak besar.  Tanpa modal yang besar, perancangan untuk mengembangkan bisnes juga akan tersekat.  Pinjaman modal dari bank juga akan menjadi susah kerana bisnes tidak mempunyai premis.  Jadi untuk mengumpul modal secara perlahan-lahan agak mencabar juga.

Resipi asal SAMBAL IKAN BILIS RIQZMIE adalah dari resipi bapa saya.  Resipi yang mudah sahaja tetapi agak leceh untuk dibuat untuk bisnes.  Pada mulanya saya menjual sambal menggunakan resipi asal dan lihat komen dari pelanggan.  Berbulan juga kami mencari dan mencuba untuk menghasilkan sambal yang terbaik bagi memenuhi kehendak pelanggan. Walaupun masih ada lagi kekurangan dari pelbagai sudut, di atas sebab teknologi yang memerlukan kos yang agak mahal jadi kami teruskan dengan resipi ini dahulu.

Pada peringkat awal ada pelanggan yang suka dan ada yang tidak suka dengan hasil produk kami. Setiap komen dan maklumbalas dari pelanggan kami terima dengan postifi dan cuba memperbaiki mutu dan rasa sambal kami.

Ada juga pelanggan yang memberi pendapat dengan kata-kata yang tidak sedap didengar membuatkan kami rasa amat tertekan.  Ditambah dengan masalah  dari syarikat penghantaran membuatkan pelanggan selalu marah-marah tidak puashati dan menuduh kami menipu mereka.

Namun syukur alhamdulillah sehingga ke hari ini rasa dan kualiti kami telah dapat diterima oleh majoriti lapisan masyarakat.