Tuesday, October 1, 2013

Mulakan secara kecil-kecilan dan online dahulu

Sumber: Ebook Bonus - Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan


Saya memang minat berniaga. Ia bermula dari kelas baking yang pertama saya ikuti di Shah Alam pada awal tahun 2010.  Selepas itu saya mula mengambil tempahan kek dari rumah.  Dengan berbekalkan pengalaman bekerja sendiri sebelum ini (bukan dalam bidang makanan), saya teruskan bisnes dari rumah secara kecil-kecilan selama 2 tahun.

Pada masa yang sama saya mengikuti kursus dekorasi kek dan seminar keusahawan untuk menambahkan pengetahuan.  Sejak itu saya berazam untuk membuka sebuah pusat bakeri yang menjual pelbagai peralatan dan keperluan bakeri untuk para pengusaha kek.  Saya juga pernah memohon peruntukan dari badan tertentu untuk memulakan perniagaan ini, akan tetapi permohonan saya tidak diluluskan.  Lalu saya menukar haluan dari mengambil tempahan kek kepada menjual peralatan bakeri memandangkan masa saya amat terhad kerana mempunyai dua orang anak kecil ketika itu.

Semua itu tidak menjadi halangan untuk saya meneruskan hasrat ini. Dengan berbekalkan restu dari suami dan modal yang sedikit saya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan online Daffodil Crafts. Saya mula berniaga peralatan dekorasi kek ini semenjak awal tahun Januari 2012. Alhamdulillah , sambutan sangat menggalakkan. Selepas 4 bulan beroperasi secara online, saya memohon untuk berniaga di pasaraya Giant di Kuala Terengganu dan permohonan saya diluluskan. Saya mendapat tapak kiosk dan memulakan perniagaan di situ pada Mei 2012. Selepas 6 bulan di situ, saya mengambil langkah untuk mengusahakan sebuah kedai di rumah ibu saya. Dan sekarang ini perniagaan dijalankan di kedai sendiri secara online dan offline.

Masalah di dalam bisnes sentiasa ada kerana kita memang akan diuji Allah dalam apa jua keadaan.  Berbekalkan semangat dan keyakinan semua itu dapat diatasi dengan baik.

Matlamat utama penubuhan Daffodil Crafts adalah untuk menjadi pusat pembekal utama peralatan dekorasi kek yang berkualiti di Asia.  Kini Daffodil Crafts menjual/membekalkan peralatan dekorasi kek yang berkualiti kepada pengusaha kek yang beroperasi dari rumah atau pengusaha secara kecil-kecilan. Kami sedang mempergiatkan usaha untuk menawarkan kepada pengusaha kek dan kedai-kedai bakeri untuk membeli secara pukal dari kami samada untuk retail ataupun kegunaan sendiri.

Alhamdulillah kini kami mempunyai rangkaian pelanggan dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Pakistan, Dubai dan Maldive.

No comments:

Post a Comment