Wednesday, November 6, 2013

Tiada yang lebih penting dari sokongan suami dan keluarga

Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan




Membuat kek ialah minat saya sejak sekolah rendah. Ia mungkin kerana saya sering menemani ibu ketika ibu membuat kerja-kerja membuat bakeri.  Selepas mendapat keputusan PMR, ibu haidahkan saya sebuah oven. Agak pelik untuk hadiah kecemerlangan peperiksaan kan? 

Saya mula mengambil tempahan secara kecil-kecilan dari ibu saudara, kakak dan jiran. Selepas menamatkan pengajian dan mendapat ijazah, saya berkahwin dan suami meminta saya berhenti kerja untuk mengikutnya ke Jepun. Setiap kali ada perjumpaan dengan kawan-kawan saya akan membawa kek. Kawan-kawan juga sudah mula meminta saya membuat kek untuk mereka. 

Apablia kami pulang ke Malaysia, saya masih meminati dengan bakeri.  Suatu hari suami saya bergurau  "apa kata kalau awak jual kek yang awak buat, biar saya jadi pembeli pertama". Sejak itu, saya terus mewar-warkan kepada kawan-kawan saya. Agak malu pada mulanya, tetapi saya berpegang kepada kata-kata ayah saya, kalau malu sampai bila? 


Saya pernah berjanji, tidak akan keluar bekerja. Syarat suami saya ialah kalau hendak bekerja, biarlah dari rumah dan berada bersama dengan anak-anak.  Cabaran terbesar pastilah anak-anak saya. Bukan mengatakan mereka satu beban tetapi cuma kekangan masa. Waktu untuk memasak, bekerja dan perhatian untuk keluarga.  Syukur sangat-sangat kerana ibubapa dan adik beradik saya sangat menyokong.  Tetapi, mertua agak skeptikal dan memandang rendah kepada apa yang saya lakukan ini. Pada mereka, bekerja sendiri tiada arah tujuannya.
Pengalaman manis ialah apabila seorang pelakon meminta saya membuat kek harijadi untuk anaknya. Beliau pernah merasa kek buatan saya yang ditempah oleh seorang kawan saya yang bekerja di sebuah production house. Dan beliau telah mempromosikan kek saya kepada kawan-kawan beliau pula. Alhamdulillah.

Pengalaman pahit yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika seorang rakan rapat yang juga berniaga, tiba-tiba mendakwa  bahawa saya meniru ideanya. Maka kawan-kawan yang lain juga menjauhkan diri dan tidak menempah dari saya, sehinggala seorang rakan lain berani bertanya kepada saya. Ia hanyalah cabaran biasa bagi peniaga kecil sebenarnya, tetapi ia mengajar saya untuk tidak meletakkan seratus peratus kepercayaan kepada orang lain.

Saya bercita-cita suatu hari nanti saya akan memiliki sebuah kafe. Target saya berkala sebenarnya. Dahulu saya sekadar meletakkan target 3 biji kek seminggu. Kini alhamdulillah seminggu sekurang-kurangnya 10 tempahan. Jarang kita jumpa kafe milik melayu Islam yang menjual cheesecake dan juga brownies.  Jika hendak kek sebegini, sentiasa ke Secret Recipes. Jadi saya mahu menjadi pencabar mereka. 

Kini saya mempunyai Facebook Page (Luscious Brownies & Cakes) dan pada waktu yang sama, saya juga mempromosikan kek melalui kawan-kawan, guru-guru sekolah anak-anak saya, rakan-rakan pejabat suami dan adik beradik saya. Pemasaran dari mulut ke mulut adalah sangat membantu. 

Jaga khidmat pelanggan, bisnes mampu bertahan

Sumber: Ebook Bonus Kisah Inspirasi Usahawan Bisnes Makanan




Semuanya bermula secara spontan. Setiap kali balik kampung di Melaka, saudara mara dan kawan-kawan  selalu pesan kek lapis, ikan terubuk.  Dari situ datang ilham untuk memasarkan produk-produk ini secara online. Saya bermula dengan lawan web yang menyediakan perkhidmatan percuma (blogspot), kemudian ke laman sosial (FB).  Selain itu saya turut memasarkan produk kedai saya di laman web yang menyediakan perkhidmatan pengiklanan secara percuma. Almaklum, saya baru sahaja memulakan perniagaan jadi perkhidmatan percuma menjadi pilihan
utama ketika itu.

Kedai Ummie mula beroperasi pada Disember 2009 dengan hanya menjual kek lapis dan terubuk masin sahaja.  Pada mulanya memang saya tidak begitu yakin dengan kemampuan saya untuk berjaya.  Tetapi galakan dan dorongan suami menjadi pembakar semangat saya. Dengan bilangan dan permintaan dari pelanggan yang semakin meningkat, saya sentiasa berusaha menambah produk-produk baru dari masa ke semasa.  Sehingga kini, Kedai Ummie menjual hampir 20 jenis produk-produk makanan dan kraf dari Sarawak.

Kedai Ummie juga pernah mendapat tempahan kek lapis dan terubuk masin dari pelanggan-pelanggan luar negara seperti Birmingham, Austria, Melbourne dan London.
Alhamdulillah, maklumbalas yang diterima amat positif.

Memandangkan produk Kedai Ummie majoritinya terdiri daripada makanan, lebih-lebih lagi yang mempunyai jangka hayat yang singkat, faktor masa menjadi cabaran utama saya. Lebih-lebih lagi tempahan pelanggan dari luar negara yang sudah tentunya memakan masa.  Jadi saya memilih syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan bagus rekod penghantaran.

Untuk makluman, kek lapis jika disimpan pada suhu bilik tahan sehingga 4 hari. Manakala terubuk masin pula boleh bertahan sehingga seminggu.  Jadi saya perlu memikirkan bagaimana produk dapat sampai kepada pelanggan dengan cepat dan dalam keadaan baik. Berurusan dengan sesetengah pelanggan yang cerewet juga merupakan cabaran yang tidak dapat saya lupakan. Tetapi dengan menggunakan pendekatan 'win-win situation' semuanya dapat diatasi.

'Layan pelanggan sebagaimana kita mahu orang lain melayan kita', selain itu jangan lupa ucapkan terima kasih.  Itu antara amalan yang saya selalu lakukan.

Kini Kedai Ummie hampir berumur 5 tahun, Alhamdulillah.